Assalamualaikum. Lama sekali saya tak apdet blog. Apa khabar pembaca sekalian? Masih ada yang sudi menjengah? Harap2 ada. Terima kasih kerana terus memberikan sokongan. Rasanya, belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua muslimin & muslimat. Macam biasa, saya tak beraya di kampung untuk raya haji tahun ni seperti tahun-tahun sebelum. Tahun ni, sambutan hari raya tak semeriah dulu sebab kami juga tak menumbangkan lembu memandangkan rumah saya baru selesai meraikan majlis perkahwinan adik lelaki saya.
Sebenarnya… tujuan asal saya menulis di blog hari ni bukanlah untuk bercerita tentang hari raya semata-mata. Tapi lebih kepada ingin memberi khabar kepada pembaca-pembaca karya Damya Hanna khususnya novel Bicara Hati (2002) yang kini diadaptasi menjadi drama bersiri 26 episod, terbitan Tarantella Pictures S.B untuk tayangan Astro Prima.

Saya ingat lagi dulu, ramai pernah bertanya pada saya…apakah novel-novel saya akan diterjemahkan ke dalam bentuk drama atau filem. Jika dulu, saya tiada jawapan. Kini, mungkin ramai yang sudah tahu khabar tentangnya. InsyaALLAH tayangan drama Bicara Hati adalah pd hujung tahun nanti. Untuk slot yang mana, saya tak pasti. Tapi, nantikanlah kemunculannya ya?
Info mengenai Drama Bicara Hati:
Producer : Tarantella Pictures Sdn. Bhd.
Director : Osman Ali
DOP: Malek Marwi
Make up Artis : Lola Mahmood
Wardrobe Supervisor : Kamiza MK
Pelakon utama :
Sharnaaz Ahmad (Tengku Syahran)
Cristina Suzanne Stockstill (Zahlia)
Marsha Milan (Linda)
Josiah Hogan (Razif)
Untuk gambar2, kalian boleh klik di sini.
Assalamualaikum.
Hari ni, saya ingin berkongsi sedikit cerita gembira. Sebenarnya, sejak dua hari yang lalu lagi saya ingin mengkhabarkan di blog. Tapi, akibat kekangan waktu… baru hari ni berkesempatan mengarang sedikit kata-kata.
Alhamdulillah, perjumpaan bersama organisasi baru Grup Buku Karangkraf dan penulis-penulis pada 7 Mei 2011 (Sabtu), berjalan dengan lancarnya. Gembira bertemu rakan-rakan seperjuangan setelah agak lama saya memencilkan diri kerana kesibukan menguruskan 'rumah tangga'.
Namun, sehingga ke hari ni… saya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku semasa perjumpaan tersebut. Mana tidaknya, sepanjang perjumpaan… kami diwar-warkan dengan hadiah pertama cabutan bertuah berupa Samsung Galaxy Tab, sumbangan bos besar Datuk Husamudin Yaacob.
Walaupun saya tidak pernah berharap akan memperoleh hadiah tersebut memandangkan saya memang menyedari yang selama ini, saya tidak pernah memenangi apa-apa hadiah cabutan bertuah. Tapi, tak disangka… rupa2nya… 7 Mei 2011 lalu adalah hari bertuah saya kerana diberi rezeki oleh ALLAH swt untuk menjadi pemilik kepada cabutan bertuah tempat pertama tersebut.
Ya ALLAH, DIA saja yang tahu apa yang ada dalam hati saya semasa menerima penghargaan tersebut. Sujud syukur dengan kurniaannya.
Bila diingat-ingat, impian saya memang ingin memiliki ipad. Konon2nya ingin menjinak2kan diri dengan E-books yang sering dihebahkan di dunia siber. Niat di hati nak mendapatkan ipad sejak beberapa bulan lalu, sering berbelah-bahagi kerana memikirkan ipad2 yang bakal berada di pasaran. Mungkin ALLAH mengerti keinginan ini. Maka, kesempatan cabutan bertuah Sabtu lalu, menjadi noktah kepada impian saya. Ipad digantikan dengan Tablet Android. Itu sudah memadai buat saya…
Terima kasih Tuan Haji Husamudin…
Terima kasih Puan Fir yang mewakili ayahandanya…
Terima kasih Grup Buku Karangkraf…
Terima kasih semua...
Dan paling UTAMA, Terima Kasih YA ALLAH atas limpahan rezekiMU.
Mula-mula takut nak beritahu abah. Dengan keadaan abah yang tak berapa sihat, kami sekeluarga terpaksa mendiamkan diri sampailah satu ketika, mak pecahkan juga rahsia. Apalagi, melenting abah tak berkesudahan. Mana taknya, mesin rumput, mesin grinder, gerudi, barang-barang motor, rim, tangga dan sebagainya yang hilang. Bila dikira-kira habis beribu juga yang rugi.
Kami ada terfikir seorang suspek. Saksi pun dah ada sebab kebetulan, 'orang' yang mencuri barang-barang kami tu, menjualnya di kawasan kejiranan terdekat pada harga yang murah semata-mata untuk mendapatkan wang. Modus operandinya, telefon rumah kami dulu untuk pastikan tiada orang di rumah. Macamana saya tahu? Sebab rumah saya menggunakan 'cordless phone'. Kebetulan, talian rumah saya juga turut berdaftar di TM untuk caller id. Jadi, kami dapat mengetahui setiap nombor panggilan yang masuk kecuali nombor 'private'.
Hmmm… patutkah kami buat laporan polis? Serba-salah dibuatnya. Kami begitu mengenali suspek tersebut. Senang cerita, ada pertalian darah cuma tidak duduk serumah. Arghhh… geramnya!!! Bila terbayang muka si suspek, saya jadi marah. Sangat marah!

Assalamualaikum.
Sekadar ingin berkongsi berita gembira. Minggu lalu, kucing saya yang bernama Miyan (nama asal Miran) telah selamat melahirkan 4 ekor bayi kucing yang sangat cantik. Setelah lebih dua bulan saya & keluarga tertanya-tanya siapakah bapa kepada bayi Miyan, akhirnya terbukti ia adalah anak-anak kepada Chelo.
Kat sini, saya selitkan gambar-gambar kucing di rumah saya yang kini berjumlah 8 ekor.






Assalamualaikum. Beberapa hari ni, saya asyik teringatkan arwah Abang Epul. Bila sendirian, saya asyik terkenangkan memori ketika beliau masih hidup. Moga ALLAH menempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang soleh.
"Yang pergi tetap pergi. Yang hidup, harus meneruskan amanat ALLAH sebagai hamba-NYA dengan sebaik-baik mungkin."
Alhamdulillah… hari ni saya dapat menggerakkan manuskrip walaupun hanya beberapa perenggan. Sikit pun takpe, asalkan ada kemajuannya. Lega bila mendapati lagi 40% yang harus saya selesaikan. Tapi ada masanya, tetap ada rasa risau bila teringatkan yang isi-isi yang saya telah rangkakan seperti berterabur di sana-sini. Bukan apa, takut juga manuskrip ke-8 ni tak menepati selera pembaca yang mengikuti perkembangan karya saya. Mana satu, isinya tidak teratur menyebabkan jalan ceritanya jadi celaru. Aduhai…
Akhir-akhir ini, saya banyak terkenangkan raut rakan-rakan. Apakah khabar ke semuanya? Moga sihat2 selalu. Baik disamping keluarga mahupun teman-teman sekerja. Semoga kalian juga teringatkan saya di sini… Jika kalian bertanya tentang khabar saya, "Syukur kepada TUHAN, saya sihat-sihat aja."
Salam.
Beberapa hari berlalu, saya tak sempat lagi meninggalkan sedikit coretan di sini. Cuma hari ni berkesempatan menulis sesuatu kerana saya ingin berkongsi sedikit berita.
Semalam, kelmarin dikejutkan dengan pemergian seorang ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan di Bukit Beruntung. Walaupun sudah lama tidak bersua, pemergian arwah pasti akan dirindui kerana beliau dikenali sebagai orang yang suka membantu dan rajin.
Arwah yang bernama Saiful Azidi Radzali, 31 tahun merupakan anak sulung kepada 4 orang beradik dan hubungan kami pula adalah saudara sepupu. Semasa kejadian, beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Namun, kereta jenis Toyota Hilux dipercayai dipandu dalam keadaan laju sebelum bergesel dengan sebuah kereta jenis Peugeot. Mangsa tercampak keluar selepas kenderaannya berpusing beberapa kali. Kemudian, kenderaan itu menghempap badan mangsa yang meninggal di tempat kejadian. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang beriman.
Sedikit berita ringkas boleh dilihat di http://ondscene.my/kemalangan/pemandu-maut-hilux-terbalik#more-7760
Assalamualaikum. Tak sangka! Betul-betul tak sangka, bila saya bangun tidur pagi semalam dan tersedar yang blog saya ni masih ada lagi pengunjungnya. Tetap masih ada yang setia menanti kemunculan entri baru dan perkembangan terkini saya. Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak pada kalian yang masih sudi menjadi teman yang setia di sini.

Pertama sekali, saya ingin memohon ampun sepuluh jari kerana rupa-rupanya sudah hampir setahun saya meninggalkan blog ni, tanpa sebarang kata-kata. Diam menyepi dan tahu-tahu saja, kita telahpun menempuh ke tahun baru 2011. Tahun lalu, saya begitu sibuk dengan urusan pengajian sehingga saya tak berkesempatan waktu untuk menulis apa-apa perkembangan diri terutamanya tentang manuskrip. Sejujurnya, saya masih lagi seorang pelajar sarjana di UKM Bangi. Namun, pengajian saya masih tergendala satu semester atas sebab kesihatan selain urusan keluarga yang patut saya dahulukan.
Saya yakin, ramai yang tertanya-tanya tentang kemunculan karya terbaru saya. Sebenarnya, manuskrip ke-8 masih lagi dalam pembikinan. Perubahan rutin menyebabkan banyak perkara di sekeliling saya turut berubah. Selepas abah disahkan menghidap strok lebih setahun lalu, saya akui banyak waktu saya terluang untuk menguruskan perihal abah. Kebetulan, mak saya penghidap penyakit thyroid. Dalam seminggu, sekurang-kurangnya sekali saya akan ke hospital menghantar abah/mak untuk temujanji doktor ataupun urusan fisioterapi.
Tapi, itu bukanlah alasan yang menyebabkan saya tak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada manuskrip. Sebenarnya yang lebih tepat, mood dan idea saya sejak kebelakangan ini tidak berapa menentu. Entahlah. Setelah cuba dikorek dan dikaji, tak tahu kenapa manuskrip kali ni begitu lambat bergerak ke noktah terakhir. Tak seperti manuskrip-manuskrip saya yang lain. Pokok-pangkalnya, saya rasa bersalah kepada para pembaca setia yang sabar menanti kemunculan karya terbaru saya. Diharap kalian masih tetap bersabar dan insyaALLAH saya akan usahakan sehingga ia tiba ke penghujungnya.

Salam sayang penuh kerinduan,
Damya Hanna.