♥ Terbaru tentang saya...
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Terasa lama benar saya tak mencoret perkembangan diri saya di blog. Sesekali menjengah ke sini, saya akui betapa rindunya saya untuk mencatat luahan hati saya seperti dulu kala. Al-maklum, kursus sarjana saya sudah menganjak ke usia semester kedua lebih sebulan yang lalu. Maka, kesibukan saya terhadap tugasan menyebabkan masa saya memang terbatas dari melakukan aktiviti bebas. Walaupun semester ini saya cuma mengambil empat berbanding lima kursus semester lepas, saya terasa beban tugasan agak menyaratkan fikiran. Empat kursus masing-masing memerlukan saya menyiapkan kertas kerja, ulasan buku, kritikan seni persembahan, pengendalian blog dan pelbagai lagi.
InsyaALLAH jika tiada aral, semester ini adalah semester terakhir saya mengambil kursus-kursus dalam kelas sebelum berkenalan dengan mini tesis semester hadapan. Itupun saya bercadang untuk memanjangkan tempoh tesis ke satu tahun jika dibenarkan pensyarah memandangkan ilmu teori sastera saya masih cetek. Banyak yang perlu saya pelajari berkenaan dunia sastera. Apa yang pasti, kursus ini banyak mengajar saya tentang dunia kesusasteraan Melayu yang menyediakan wadah ilmu yang selama ini tidak saya ambil peduli.
Saya belajar tentang teori feminisme, intertekstualiti, historikal, teksdealisme, moral, sosiologi dan banyak lagi berkenaan falsafah dan pemikiran pengarang. Saya berkenalan dengan sasterawan-sasterawan negara seperti Keris Mas, Arenawati, A. Samad Said, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, S.Othman Kelantan, Abdullah Hussein dan terbaru Anwar Ridhwan yang banyak menyumbang kepada dunia kesusasteraan Melayu. Tidak terkata ucapan syukur saya kepada ILLAHI kerana memberi ruang kepada saya untuk lebih menghargai kesusasteraan dan mendekatkan saya dengan novel-novel yang lebih bermutu.
Menyebut tentang novel, untuk pengetahuan semua saya masih belum berura-ura untuk menghasilkan karya ke-8 buat masa ini. Setepatnya, manuskrip saya masih terbengkalai. Tapi insyaALLAH saya akan cuba melakukan sehabis daya saya demi pembaca-pembaca sekalian. Semoga kesabaran adik-adik dan kakak-kakak dapat memberikan peluang kepada saya menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti dan bermutu akan datang.
Salam,
damya hanna.